Monday, April 1, 2019

KARYA-KARYA YANG DIHASILKAN DAN PEMIKIRAN A SAMAD SAID


A Samad Said ialah pengarang yang prolifik. Beliau tidak jemu berkarya dalam pelbagai genre sama ada kreatif ataupun esei. Beliau menghasilkan sebuah karya autobiografi yang membincangkan proses kreatifnya dalam menghasilkan beberapa novelnya iaitu Dari Salina Ke Langit Petang. Dalam konteks karya kreatif pula, kemampuan beliau berkarya dalam empat genre sastera seperti novel, cerpen, sajak dan drama memberi impak yang kukuh kepada imej beliau sebagai pengarang kreatif yang disegani. Namun, menikmati karya-karya A Samad Said yang tersebar dalam empat genre ini tidak menjadi masalah kerana unsur intrateks dan interteks telah mengikat karya-karya yang dihasilkan dengan suatu ikatan yang membawa makna melalui proses interpretasi yang jelas, terarah dan menyakinkan. Menerusi intrateks ini menyebabkan pembaca mendapat kepuasan emosi dan intelektual apabila menikmati karya-karyanya. Unsur intrateks boleh dijejaki dalam karya-karyanya melalui pelbagai peringkat seperti fonetik, semantik, diksi, ungkapan, latar, watak dan plot. Manakala unsur interteks terserlah kerana karya-karya A Samad Said mengandungi cebisan-cebisan karya-karyanya yang terdahulu. Misalnya terdapat unsur interteks antara Daerah Zeni dengan drama Wira Bukit berdasarkan persoalan yang dipaparkan. Dengan kata lain, melalui unsur interteks dan intrateks ini menyebabkan pembacaan karya-karya A Samad Said berada dalam suatu perimeter yang luas dan berhubungan. Maka membaca karya-karya A Samad Said secara terpisah akan menyebabkan pembaca berkenaan tercicir jauh daripada nikmat dan hikmah yang ada.

SUMBANGAN DATUK A. SAMAD SAID



A. Samad Said merupakan satu nama besar yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Malaysia tidak kiralah orang dewasa mahupun remaja, apa lagi bagi para penggemar karya kesusasteraan Melayu. Sasterawan Negara yang satu ini mampu menguasai kesemua genre sastera sehingga membolehkan beliau menghasilkan karya sastera dengan genre yang pelbagai. Buktinya, novel salina adalah sangat berbeza daripada karya novel mahupun cerita pendek yang ditulis oleh tokoh ini.
Selain sumbangan terhadap penulisan novel dengan genre yang berlainan, Datuk A. Samad Said turut menyumbang dalam memperkaya dan meninggikan nilai kesusasteraan. Sumbangan tersebut nyata sekali sangat bermakna dalam perkembangan kesusasteraan Melayu di Malaysia khususnya, menyebabkan beliau diberikan pelbagai anugerah dan pengiktirafan. Contohnya, beliau diiktirafkan sebagai pejuang sastera, dianugerahkan Hadiah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A Write Awards) sehingga akhirnya diiktiraf sebagai Sasterawan Negara pada tahun 1985.Pada tahun 1997, beliau akhirnya dianugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran “Datuk” oleh Yang Dipertua Negeri Melaka (Pustaka, 2019).
Bukan itu sahaja, Datuk A. Samad Said juga merupakan tokoh yang menyumbang dalam kesinambungan kesusasteraan Melayu dengan menyambungkan ASAS 50 dengan angkatan sesudahnya. Hal ini sudah tentulah sangat bermakna dari sudut pandangan bidang kesusasteraan Melayu memandangkan Angkatan Sasterawan 50 atau singkatnya ASAS 50 bertujuan bagi mempertingkatkan martabat kesusasteraan dan tidak lupa juga kebudayaan Melayu itu sendiri, mentransformasikan sastera Melayu tanpa melenyapkan unsur-unsur sastera lama serta mempopularkan lagi bidang penulisan. Maka, sememangnya jelas kelihatan sumbangan dan peranan tokoh ini dalam bidang kesusasteraan Melayu melalui ASAS 50.
Anugerah Sasterawan Negara Keempat

Karya-karya hasil tulisan Datuk A. Samad Said kesemuanya mengandungi unsur didaktik atau dalam perkataan mudahnya pengajaran. Hal ini adalah antara lain sumbangan tokoh ini kepada kesusasteraan Melayu. Kenapa? Sudah tentu kerana karya sastera yang memberikan pengajaran kepada para pembaca akan menimbulkan suatu kesedaran terhadap perkara berkenaan. Perlu diingat bahawa hasil coretan seorang penulis terkenal seperti karya Datuk A. Samad Said ini bukan sahaja dibaca oleh golongan dewasa tetapi turut menjadi pilihan para remaja terutama mereka yang gemar membaca. Maka, novel Salina dan Sungai Mengalir Lesu contohnya dapat memberi suatu impak kepada pembaca kesan daripada garapan jalan cerita yang mengandungi pelbagai peristiwa untuk diambil sebagai pengajaran.
Datuk A. Samad Said juga menyumbang dalam penggunaan diksi atau bahasa yang indah. Hal ini sudah tentulah sangat penting memandangkan dalam bidang sastera, elemen bahasa adalah suatu perkara yang memainkan peranan besar bagi menimbulkan suatu makna sesuai dengan pemikiran penulis. Walaupun terdapat banyak lagi tokoh-tokoh lain seperti Shanon Ahmad dan Othman Puteh umpamanya yang turut sama berupaya menghasilkan karya sastera dengan penggunaan bahasa indah tetapi tidak dapat dinafikan bahawa laras bahasa Datuk A. Samad Said adalah berbeza (Din, 2014).
Datuk A. Samad Said juga melalui karya-karyanya berjaya memupuk budaya cintakan ilmu sastera dalam kalangan anak-anak muda terutama mereka yang bercita-cita untuk menjadi seorang penulis. Hal ini sesuai dengan kata-kata tokoh ini yang diambil daripada buku biografi A. Samad Said yang berbunyi sedemikian “Nak jadi penulis, kena rajin membaca” (Abdullah, 2001). Akhir sekali, Datuk A. Samad Said memberikan sumbangan paling besar dalam bidang kesusasteraan Melayu dengan memartabatkan nilai sastera di dalam dan luar negara. Hal ini jelas terbukti melalui terjemahan karya hebatnya – Salina dalam beberapa bahasa lain termasuklah Perancis dan English. Perkara ini sekaligus telah mengangkat kesusasteraan Melayu di mata dunia sehingga orang luar dapat mengetahui bahawa kesusasteraan Melayu tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan bidang sastera luar.



Antara Sumbangan A. Samad Said

Rujukan:

Abdullah, A. (2001). Biografi Sasterawan Negara A. Samad said. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Din, G. (2014). Penulisan Kreatif. Seri Kembangan: Meteor doc. Sdn. Bhd.
Pustaka, D. B. (24 Mac, 2019). A. Samad Said Sasterawan Negara ke-4 (1985). Retrieved from KlikWeb DBP: Https://www.klikweb.dbp.my/wordpress/?p=4768

BIODATA A. SAMAD SAID


BIODATA
A. SAMAD SAID

Sasterawan Negara (SN) Datuk A.Samad Said atau nama sebenarnya Abdul SamadMuhammad Said merupakan seorang sasterawan tanah air yang banyak terlibat dalambidang penulisan kreatif. Kerajinannya menghasilkan karya dan ketekunanya membacakarya-karya orang lain menjadi titik penentu A.Samad Said ditabalkan sebagaiSasterawan Negara yang versatil. Beliau berpendapat bahawa untuk melahirkan karya,karyawan tidak hanya bergantung pada bahan dan bakat serta kekuatan fikiran sahaja,tetapi yang penting ialah pembacaan dan pengalaman yang luas.

SN Datuk A.Samad Said dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam,Durian Tunggal, Melaka. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu KotaRaja, Singapura dari tahun 1940-1946. Beliau kemudian telah melanjutkanpelajarannya di Victoria Institution sehingga memperolehi sijil Senior Cambridge padatahun 1956.

Sejak di bangku sekolah menengah lagi, Samad sudah mulai berkenalan dengan kesusasteraan di dalam dan luar negeri. Malah, pengarang-pengarang penting di Singapura seperti Asraf, Usman Awang, dan Han Suyin telah diketemuinya. Sajak dan cerpennya mula tersiar sewaktu beliau masih di bangku sekolah. Sebelum terbitnya novel Salina yang mengharumkan namanya, Samad membaca karya-karya Ajip Rosidi, Rendra, Pramoedya, Achdiat, Hamzah dan Wijaya Mala. Beliau juga membaca novel-novel Barat seperti Oliver Twist, Wuthering Height dan Almayer’s Folly.  Beliau menggunting cerpen-cerpen daripada akhbar tempatan dan mengkajinya sebelum menghasilkan cerpennya.

Kegiatan menterjemah beberapa karya sastera asingjuga secara tidak langsung memperkuat minatnya terhadap kesusasteraan. Segalanya ini membulatkan tekad dan fikirannya untuk berkecimpung dalam bidang penulisan, dan hasilnya, Samad berupaya menghasilkan pelbagai genre: sajak, novel, drama, esei/kritikan dan terjemahan. Kecenderungannya terhadap dunia sastera telah berakar dan berkembang dalam dirinya sejak kecil lagi apabila beliau selalu mendengar cerita-cerita daripada ibunya.

Pengalaman kerjaya SN A.Samad Said bermula sebagai kerani. Kemudian beliau
menjadi wartawan di akhbar Fikiran Rakyat, Utusan Melayu dan Barita Harian. Jawatanterakhir beliau ialah sebagai ketua pengembangan sastera dalam kumpulan AkhbarThe New Strait Times. Kini beliau menjadi penulis sepenuh masa yang aktif berkarya.Sepanjang karier penulisan, beliau telah mendapat pengiktirafan daripada KerajaanMalaysia. Antara anugerah yang diterima ialah Anugerah Pejuang Satera (1976), SEAWrite Award (1979), Anugerah Sastera Negara (1985) dan Anugerah SasterawanNusantara (1999). Anugerah lain yang diterima ialah Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Kesusasteraan UPSI pada tahun 2003. Selain pengiktirafan dalam bidang sastera, A.Samad Said juga telah dianugerahkan darjah kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk dalam tahun 1997 oleh Yang DiPertua Negeri Melaka. Bukan itu sahaja A Samad Said turut dilantik sebagai sasterawan UPSI mulai Februari 2019.


Dalam usia awal 70an, Datuk A.Samad Said masih cergas memenuhi undangan majlis sastera. Beliau sanggup mengembara sehingga ke kawasan pedalaman di Sarawak dan juga Sabah untuk menunaikan jemputan di samping membantu perkembangan sastera tanah air. Datuk A.Samad Said memiliki keistimewaan yang jarang dimiliki oleh semua penulis. Beliau menguasai semua genre sastera. Sehingga kini A.Samad Said tidak jemu menghasilkan puluhan karya dalam genre novel, puisi, drama, cerpen, dan esei.

Antara karya besar yang dihasilkan ialah Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Hujan Pagi, Lantai T.Pinkie, Benih Semalu, Benih Harapan, Warkah Eropah, Al-Amin, Rindu Ibu dan lain-lain lagi. Karya beliau Salina telah diterjemahkan ke dalam lain-lain bahasa seperti bahasa Inggeris dan bahasa Perancis. Beberapa karya beliau juga telah diadaptasi menjadi teater atau drama pentas seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu, Lantai T.Pinkie dan Memori di Hadapan Pulau. Keunikan, keistimewaan dan keikhlasan SN Datuk A.Samad Said berkarya sewajarnya menjadi model dan sumber inspirasi berkarya bagi generasi penulis muda masa kini.



Biodata Secara Ringkas.




RUJUKAN :
Risnah Baharudin. (2012). Biografi A. Samad Said: Memberi hati nurani. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia.


Awang Abdullah. (2001). Biografi sasterawan negara A. Samad Said. Kuala Lumpur: DBP

SENARAI KARYA YANG PERNAH DIHASILKAN